Tuesday, August 10, 2010

Kesedaran Rasuah Rendah

Rasuah, secara amnya menunjukkan kuasa yang diberikan kepada seseorang individu itu disalah gunakan untuk kebaikan diri sendiri atau orang yang terdekat dengannya. Jenayah rasuah ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan golongan dominan dan berpengaruh sahaja, tetapi golongan kurang berpengaruh juga tidak terkecuali. Rasuah merupakan jenayah sosial yang telah lama berakar umbi dalam mana-mana masyarakat sekalipun dalam dunia ini. Keadaan politik dan pentadbiran yang ada sekarang adalah sedikit sebanyak hasil daripada sikap masyarakatnya yang menjadikan amalan rasuah sebagai sesuatu amalan dalam aspek pentadbiran, hal ini mendorong berlakunya ketidakadilan dalam masyarakat sekaligus menimbulkan perbalahan dan konflik yang jalan penyelesaiannya sukar ditemui kerana belum mengenalpasti punca utamanya. Soal ketelusan, integriti dan akauntabiliti sering dipersoalkan dan menimbulkan pelbagai reaksi serta pendapat daripada golongan intelek dan juga golongan agama sehingga kerap menjadi tajuk perbahasan di Parlimen. Dalam situasi di negara kita sekarang, jenayah rasuah dikatakan semakin bertambah seiring dengan perkembangan globalisasi dan modenisasi serta pembangunan. Sebenarnya, banyak faktor yang mendorong kepada perlakuan ataupun amalan rasuah. Datuk Ahmad Khusairi Datuk Yahya, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam rencananya menjelaskan tentang rendahnya kesedaran rasuah dalam kalangan rakyat Malaysia serta kesannya terhadap negara .

Berdasarkan rencana ini, Statistik menunjukkan saban tahun, tangkapan yang melibatkan kes rasuah di negara ini semakin meningkat, walaupun pelbagai kempen kesedaran dan penguatkuasaan serta hukuman yang berat terhadap pesalah rasuah dikenakan, namun, ianya bukanlah menjadi faktor yang boleh menghalang masyarakat daripada terbabit dengan rasuah. Statistik yang dikeluarkan oleh Transparency International  pada 2009 menunjukkan Malaysia menduduki tangga ke-56 daripada 180 buah negara dalam Persepsi Indeks Rasuah. Manakala negara jiran pula iaitu Singapura menduduki tangga ke-3, disini dapat diperhatikan betapa besarnya jurang integriti dan ketelusan dalam masyarakat Malaysia dengan masyarakat Singapura. Malaysia sebagai sebuah negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, dan agama Islam sebagai agama rasmi negara, mengapakah perkara sebegini terjadi dan adakah prinsip-prinsip dasar Islam sebenar tiada dalam jiwa umat Islam? perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana ia mencemarkan imej agama Islam kerana sikap penganutnya, sedangkan syariat dalam agama Islam itu sudah cukup indah dan melengkapi serta merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia.

Saya berpandangan bahawa faktor utama yang menyebabkan berlakunya jenayah rasuah adalah disebabkan oleh kurangnya iman dan taqwa dalam diri seseorang. Seseorang individu akan memandang remeh terhadap jenayah rasuah ini apabila iman dan taqwa di dalam dirinya tidak teguh. Malahan, yang bergelar orang ‘alim’ sekalipun akan terlibat dengan rasuah apabila nafsu yang mendorong sifat tamak haloba menguasai dirinya. Seperti yang dinyatakan oleh Datuk Ahmad Khusairi Datuk Yahaya, ada pegawai awam yang sanggup menerima rasuah yang hanya bernilai RM3, jadi hal itu menunjukkan rendahnya nilai Islam dan maruah dalam diri mereka. Walaupun ada di antara mereka yang sebenarnya sedar bahawa perbuatan rasuah itu berdosa, namun, mereka tidak dapat menahan diri daripada melakukan perkara keji tersebut apabila nafsu lawwamah menguasai diri. Cara penyelesaiannya adalah dengan memantapkan iman dan kukuhkan jati diri dengan istiqamah. Hanya manusia yang kuat berpegang kepada nilai agama dan mempunyai integriti yang tinggi mampu menolak amalan rasuah. Dengan demikian mereka yang menolak amalan rasuah adalah manusia yang hebat dan cemerlang. Malah larangan Alllah s.w.t terhadap rasuah telah jelas daripada firman Allah dalam Al- Quran ;

“dan janganlah sebahagian daripada kamu memakan harta sebahagian yang lain diantara kamu dengan jalan yang batil dan jangan kamu bawa kepada hakim, supaya dapat kamu memakan sebahagian harta orang yang berdosa sedang kamu mengetahuinya. ”  (Al-Baqarah :188)

Perbuatan rasuah ini juga dilarang keras oleh Allah s.w.t dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad yang bermaksud;

“Allah s.w.t melaknat orang yang memberi rasuah dan penerima rasuah serta orang yang memberikan jalan terhadap kedua-duanya”.

Berdasarkan dalil-dalil diatas jelas sekali jenayah rasuah amat dilaknat oleh Allah s.w.t dan menunjukkan agama Islam adalah sangat telus dan suci, berbeza dengan pandangan barat seperti teori " Technique of Neutralization " yang diperkenalkan oleh Grisham Sykes dan David Matza, mereka mengatakan "lakukan rasuah secara rahsia asalkan tiada siapa yang tahu". Teori ini telah menghalalkan rasuah dengan seribu satu alasan peribadi dan jelas sekali bertentangan dengan ajaran Islam.

Allah s.w.t menganjurkan supaya hambanya berusaha mencari rezeki yang halal dan berkat. Rezeki berkat bermaksud, rezeki yang Allah s.w.t. kurniakan kepada kita, tetapi ia sesuatu yang baik dan cara ia diperoleh juga baik. Sebagaimana firman Allah s.w.t;

“Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik daripada apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah : 168 )

Rezeki yang halal serta berkat sangat dititikberatkan dalam Islam kerana daripada apa yang kita makan itulah yang akan membentuk hati dan akhlak kita sebagai muslim. Jika diimbas kembali, dosa pertama yang dilakukan oleh nabi Adam a.s adalah kerana makan buah yang dilarang oleh Allah s.w.t yakni buah yang haram. Sabda Rasullullah s.a.w;

"Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya." (Riwayat At-Tarmizi)

Walaupun Datuk Ahmad Khusairi menegaskan bahawa penjawat awam pada hari ini telah banyak berubah dari segi sikap, nilai integriti mahupun budaya kerjanya iaitu lebih baik daripada dahulu, namun sebenarnya masih ada barah-barah rasuah yang menular dalam diri mereka cuma belum sempat dimanifestasikan dengan jelas, namun usaha kerajaan dalam membendung amalan rasuah ini adalah sangat wajar kerana barah-barah ini dapat dikawal walaupun untuk menyembuhkannya bukanlah sesuatu yang mudah, namun ianya perlulah dilakukan secara istiqamah janganlah hanya separuh jalan sahaja.

Memang tidak dinafikan masyarakat memberikan persepsi yang negatif terhadap penjawat awam terutama sekali anggota penguatkuasa, sebenarnya pihak berkuasa seharusnya menganggap ini sebagai cabaran dan kritikan yang membina buat mereka supaya memerangi rasuah dalam kalangan mereka sendiri dan membuktikan bahawa mereka jujur dan amanah dalam menjalankan tanggungjawab, masyarakat tidak akan berhenti memberi kritikan terhadap pentadbir. Walaubagaimanapun, pihak berkuasa harus sedar kritikan dari masyarakata disebabkan masih ada segelintir penjawat awam yang mengamalkan rasuah, seperti kata pepatah "jika tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang". Sebenarnya, amalan rasuah juga amat berkait rapat dengan kepimpinan dalam sesebuah organisasi, jika pemimpin itu sendiri melakukan rasuah, maka tidak hairanlah ianya akan menjadi ikutan orang bawahannya, dalam hal ini, konsep kepimpinan melalui teladan sangat penting dalam sesebuah organisasi atau institusi. Kelemahan dalam kepimpinan atau sesuatu organisasi menyebabkan rasuah menjadi sesuatu kebiasaan. Seterusnya, faktor politik juga merupakan antara faktor utama yang mendorong kepada tingkah-laku yang batil ini. Kebanyakan golongan pentadbir serta ahli politik terlibat dengan rasuah untuk mendapatkan sokongan politik serta kuasa. Biasanya apabila hampir pilihanraya, mereka memberi pelbagai sumbangan serta janji-janji manis semata-mata untuk mendapat sokongan pengundi.

Modenisasi serta faktor sosioekonomi yang berkembang pesat tidak seiring dengan pembangunan kerohanian juga menjadi salah satu faktor berlakunya peningkatan jenayah rasuah, ketidakseimbangan berlaku apabila masyarakat hanya mengutamakan fardhu kifayah, tetapi fardhu ain pula dipinggirkan, masyarakat sentiasa sibuk mengumpul harta dunia sehingga sifat tamak menguasai diri, sebagai contoh, perkembangan yang pesat dalam industri pembinaan menyebabkan berlakunya persaingan untuk mendapatkan tender-tender, persaingan yang berlaku bukanlah persaingan yang sihat tetapi sebaliknya tender-tender diberikan apabila pihak atasan mempunyai hubungan atau mengenali kontraktor tersebut, akibatnya, pihak yang mempunyai kualiti dan berkelayakan tidak mendapat tender tersebut sebaliknya diberikan pihak yang tidak berkelayakan. Selalunya, pihak terbabit mencari jalan mudah untuk mendapatkan tender tersebut dengan memberi suapan atau hadiah kepada pihak atasan. Akibatnya, struktur-struktur pembinaan tidak berkualiti dan membahayakan nyawa masyarakat.

Rasuah sudah jelas telah memberi ancaman terhadap kestabilan politik, ekonomi dan sosial sesebuah masyarakat. Seperti yang dinyatakan oleh Datuk Khusairi, sogokan rasuah atas kesalahan trafik di Malaysia adalah sangat tinggi, dan hal boleh meningkatkan kadar kemalangan jalan raya kerana biasanya orang yang memberi sogokan akibat kesalahan trafik tidak akan serik mengulangi kesalahan kerana bagi mereka jika dikenakan saman sekalipun, mereka boleh selesaikan dengan menyogok pihak berkuasa, bagi mereka soal keselamatan diri dan orang lain bukanlah menjadi perkara yang perlu diberi perhatian. Selain itu, banyak Pendatang Asing Tanpa Izin yang merasuah pihak berkuasa untuk tinggal secara haram di Malaysia. Hal ini menyebabkan kebanjiran pendatang asing yang kebanyakannya tidak menghormati undang-undang di negara ini, jadi, kes-kes jenayah dan masalah sosial terus meningkat sekaligus mengkucar-kacirkan masyarakat. Jenayah rasuah juga boleh mencetuskan kezaliman apabila orang yang tidak bersalah dijatuhkan hukuman disebabkan sogokan oleh pihak tertentu.

Sejarah telah membuktikan bahawa jenayah rasuah telah menghancurkan sosioekonomi dan pemerintahan sesebuah kerajaan contohnya kejatuhan pemerintahan Marcos di Filipina. Sebaliknya, negara yang indeks rasuahnya adalah rendah, merupakan antara negara termaju dan kompetitif di dunia seperti Singapura dan Sweden. Impak rasuah ini bukan sahaja menghancurkan sesebuah institusi yang besar malahan institusi yang kecil seperti institusi kekeluargaan juga boleh hancur disebabkan bahana rasuah. Rasuah bukanlah mudah untuk ditangani, usaha menanganinya perlulah bermula dari akar umbi iaitu pembangunan kerohanian dalam diri setiap individu. Usaha membangunkan rohani juga perlulah bermula daripada awal dan kerjasama daripada masyarakat terutama sekali golongan ibu-bapa dan kerajaan juga bertanggungjawab memberi dan menyediakan pendidikan Islam yang sempurna dalam diri generasi muda. Secara keseluruhannya, hanya iman dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t mampu menjadi benteng pertahanan diri daripada terlibat dengan perkara-perkara yang batil.

No comments:

Post a Comment