Tuesday, March 29, 2011

Al-Wasatiyyah dalam Gagasan 1Malaysia

KONSEP AL-WASATIYYAH DALAM GAGASAN 1MALAYSIA:
SATU ANALISIS


Nurul Huda Yacob[1]
Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
11800 Pulau Pinang.
Tel: 04-6533422 Faks: 04-6532124
Email: guidedlighted@gmail.com


Abstrak

Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Mohd Najib Tun Abdul Razak telah cuba dikaitkan dengan konsep al-Wasatiyyah. Al-Wasatiyyah di sini merujuk kepada kesederhanaan, pertengahan, keseimbangan atau pendekatan jalan tengah. Ia bertujuan untuk mengimbangi sesuatu perkara sama ada daripada aspek pemikiran atau tingkahlaku supaya tidak melampau atau ekstrem. Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah menjadikan Al-Wasatiyyah sebagai pendukung Gagasan 1Malaysia yang bertujuan untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Persoalannya, bagaimanakah konsep al-Wasatiyyah ini dapat mendukung Gagasan 1Malaysia? Apakah elemen-elemen al-Wasatiyyah yang terdapat dalam Gagasan 1Malaysia itu? Kertas kerja ini akan cuba menjawab dua persoalan ini dengan menganalisis tiga perkara utama. Pertama, meninjau konsep al-Wasatiyyah dari perspektif Islam. Kedua, meneliti Gagasan 1Malaysia. Ketiga, menganalisis elemen-elemen al-Wasatiyyah yang terdapat dalam Gagasan 1Malaysia. Isu-isu ini dirungkai berasaskan tinjauan karya terhadap kedua-dua konsep dan gagasan ini. Kertas kerja ini akan merumuskan hubung kait antara elemen-elemen yang membentuk konsep al-Wasatiyyah dengan Gagasan 1Malaysia. 

Kata Kunci: Konsep al-Wasatiyyah dan Gagasan 1Malaysia








PENGENALAN

Gagasan 1Malaysia yang bermotokan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ adalah satu falsafah yang menjadi tunjang kepada pentadbiran negara Malaysia di bawah pimpinan Mohd Najib Tun Abdul Razak. Ia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran baru, tetapi merupakan kesinambungan daripada dua konsep yang telah diperkenalkan oleh dua Perdana Menteri terdahulu, iaitu Mahathir Mohamad (1981-2003)[2] dan Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009)[3] (Bahagian Penerbitan Dasar Negara, 2009).

Bagi mencapai hasrat dan visi kedua-dua konsep tersebut, soal kesatuan dan perpaduan rakyat pelbagai kaum dan etnik di negara ini sangat ditekankan. Mohd Najib Tun Abdul Razak menyatakan usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan rakyat serta negara sudah pun dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lagi. Usaha ini kemudiannya telah disambung oleh pemimpin-pemimpin negara yang seterusnya (Bahagian Penerbitan Dasar Negara, 2009).

Untuk menyambung usaha yang telah dilakukan oleh para pemimpin yang terdahulu itu, maka Mohd Najib Tun Abdul Razak memperkenalkan Gagasan 1Malaysia. Ia bertujuan memperkukuhkan pendekatan-pendekatan yang sedia ada dan mengukuhkan lagi perpaduan kaum di negara ini. Hal ini bagi menjamin kestabilan ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia. Dalam perkataan lain, Gagasan 1Malaysia adalah sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara, iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat. Acuannya adalah dengan memperkukuhkan hubungan antara rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Bagi mencapai hasrat ini,  Mohd Najib bin Tun Abdul Razak telah meletakkan al-Wasatiyyah[4] sebagai pendukung kepada gagasan 1Malaysia. Persoalannya, bagaimanakah konsep al-Wasatiyyah ini dijadikan sebagai pendukung Gagasan 1Malaysia? Apakah elemen-elemen al-Wasatiyyah yang terdapat dalam Gagasan 1Malaysia itu? Untuk menjawab kedua-dua persoalan ini, maka kertas kerja ini membincangkan konsep al-Wasatiyyah yang menjadi acuan dalam membentuk, menstabilkan dan seterusnya mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia berdasarkan prinsip-prinsip dalam Gagasan 1Malaysia. Semua perbincangan dilakukan dengan meninjau karya-karya yang ada hubung kait dengan kedua-dua konsep dan gagasan ini.

Secara keseluruhannya, perbincangan dalam kertas kerja ini terbahagi kepada empat bahagian utama. Bahagian pertama meninjau konsep al-Wasatiyyah dari perspektif Islam. Bahagian kedua pula menyentuh tentang Gagasan 1Malaysia dan hubung kaitnya dengan konsep al-Wasatiyyah. Bahagian ketiga memuatkan analisis tentang elemen-elemen al-Wasatiyyah yang terdapat dalam Gagasan 1Malaysia. Akhir sekali merupakan bahagian penutup dan rumusan daripada keseluruhan perbincangan dalam kertas kerja ini.



KONSEP AL-WASATIYYAH

Al-Wasatiyyah adalah istilah Arab iaitu daripada kata dasar wasat. Sebenarnya istilah ini diambil dan dikembangkan daripada ungkapan ummatan wasatan yang disebut dalam al-Qur’an (al-Baqarah, 2:143)[5] dan ia mempunyai beberapa makna. Antaranya ialah jalan tengah (Abdulmalik Abdulkarim Amrullah, 1982:333), keadilan, pertengahan (Sayyid Qutb, 2000:295-297; Syekh Muhammad Mutawalli Sya’rawi, 2004:474; Ghazali Basri, 2008:156) sederhana (Salahuddin Abdullah Omar Khalid, 2009:108), kedudukan terbaik, paling mulia, paling sempurna (Abu al-Fida Ismail Ibn Kathir, 2003:422-42; Ahmad Omar Hashem, 2006:1), dan alternatif (Ghazali Basri, 2008:156). 

Maksud istilah al-Wasatiyyah yang dikemukakan oleh penulis-penulis di atas telah diperincikan pula oleh beberapa penulis lain. Misalnya M. Quraish Shihab (1996:328) yang menyatakan al-Wasatiyyah itu bermaksud segala yang baik sesuai dengan objeknya, yakni sesuatu yang baik berada pada posisi di antara dua ekstrem. Posisi ekstrem tersebut kemudiannya dijelaskan oleh Muhammad Haniff Hassan (2003) sebagai berada di antara ekstrem yang melampau dengan sifat kekerasan dan ekstrem yang melampau dengan sifat memudahkan.

Selain M. Quraish Shihab (1996), Mohamed Baianonie (2004) pula menyatakan al-Wasatiyyah atau atawasoot bermaksud umat Islam perlu mencuba yang terbaik untuk menjadi sederhana dalam setiap perbuatannya. Maksud sederhana ini telah diperincikan pula oleh Nik Salida Suhaila Nik Salleh (2010) sebagai  satu keadaan yang tidak lebih dan tidak kurang, keadaan biasa dan tenang. Menurutnya lagi, kesederhanaan juga bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya ataupun memberikan sesuatu yang berhak kepada pemiliknya. Ia juga sama maksudnya dengan adil. Senada dengan Nik Salida Suhaila Nik Salleh (2010) ini ialah Mohd Asri Zainul Abidin (2007) dan Khadijah Mohd Khambali@Hambali dan Nor Adina Abdul Kadir (2010). Mereka berpandangan bahawa al-Wasatiyyah adalah sifat adil dengan meletakkan sesuatu itu betul pada tempat dan hirakinya, seimbang dan pertengahan di antara dua ekstrem yang berbeza.

Dalam perkataan lain, al-Wasatiyyah bermaksud tidak bersikap al-Ghuluww dan al-Tatarruf (melampau dan keterlaluan) dalam menganut kepercayaan. Demikian juga akhlak dan amalan, segala-galanya berkeadaan sederhana dan seimbang (Abdullah Basmeih, 2001:55). Dalam hal ini, seseorang itu tidak boleh terlalu mengejar dunia semata-mata sehingga mengabaikan akhirat atau terlalu mengejar akhirat sehingga melupakan dunia (Ridhuan Tee Abdullah, 2010). Begitulah juga tidak boleh mengejar kekayaan semata-mata sehingga melupakan individu-individu lain yang kurang berkemampuan.

Berdasarkan penjelasan makna etimologi di atas, jelaslah bahawa umat Islam disifatkan sebagai umat yang adil dan sederhana pada tempatnya. Menurut Syed Qutb (2000:295), umat Islam adalah umat yang adil dalam segala erti keadilan sama ada keadilan dengan erti kebaikan dan kelebihan atau keadilan dengan erti kesederhanaan atau dengan ertinya yang fizikal iaitu duduk di tengah-tengah. Umat Islam berada pada posisi yang tengah. Oleh itu umat Islam tidak hanyut oleh materialisme. Posisi umat Islam di tengah ini menjadikan umat Islam mampu menyeimbangkan antara aspek rohani dan jasmani, material dan spiritual termasuk segala sikap dan perbuatan (M.Quraish Shihab, 1996:328-329).

Umat Islam menjadi lemah apabila berkembangnya sikap fanatik dan taksub terhadap pendekatan tertentu sehingga mencapai tahap ekstrem (ifrat, ghuluww) atau meluasnya fahaman liberal (tafrit, tasahul) yang melonggarkan kefahaman dan amalan agama. Kedua-dua kecenderungan ini terpesong daripada kefahaman Islam yang adil dan sederhana (al-‘adl wa al-wasat) (Mahamad Kamil bin Abdul Majid, 2004). Oleh itu, setiap perkara di dunia ini perlukan keseimbangan. Apabila tidak wujud elemen keseimbangan, maka pelbagai masalah akan timbul (Imam Munawwir, 1986:177).

AL-WASATIYYAH SAMA DENGAN AL-TAWAZUN?

Selain istilah al-Wasatiyyah, terdapat satu lagi istilah yang bermakna keseimbangan, iaitu istilah al-Tawazun. Berhubung perkara ini, pemikir-pemikir Islam mempunyai pandangan yang sedikit berbeza. Pandangan-pandangan mereka ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk. Bentuk pertama mengatakan ia adalah sama sahaja, manakala bentuk kedua pula mengatakan ia tidak sama.

Bagi bentuk pertama, Haron Din (1992:111-123), Yusof al-Qaradhawi (2000:271), Mohd Asri Zainul Abidin (2007) dan Mashitoh Ibrahim (2011) menyatakan al-Wasatiyyah dan al-Tawazun mempunyai maksud yang sama. Kedua-dua istilah ini disamakan kerana kedua-duanya terdapat elemen keseimbangan. Bentuk yang kedua pula, Ghazali Basri (2008:155-156) menyatakan ia berbeza kerana al-Wasatiyyah lebih bersifat cara atau pendekatan sebagai alternatif, sedangkan al-Tawazun adalah suatu keadaan yang dilahirkan dalam keadaan keseimbangan. Maksudnya, bila disebut Islam itu bersifat al-Tawazun ia bermaksud Islam itu sendiri mengimbangi dua suasana yang berbeza dalam keadaan yang harmonis, selaras dengan dengan fitrah manusia dan peraturan Allah s.w.t (sunnatullah). Misalnya, agama Islam mengimbangi antara tuntutan keperluan di dunia dan akhirat. Manakala al-Wasatiyyah pula adalah satu pendekatan alternatif kepada dua keadaan yang ekstrem. Misalnya, kapitalisme mahukan kekayaan menjadi hak mutlak individu (pemodal), manakala bagi sosialisme pula, kekayaan menjadi hak milik bersama. Perkara ini jelas berbeza dengan konsep al-Wasatiyyah dalam Islam di mana Islam mengajarkan bahawa harta kekayaan itu adalah hak milik mutlak Allah s.w.t. Manusia diamanahkan untuk menggunakannnya sekadar yang perlu sahaja. Maka dengan itulah Islam mensyariatkan ibadah zakat, sedekah, wakaf dan seumpamanya.

Secara keseluruhannya, hujah Ghazali Basri (2008) ini mempamerkan terdapat perbezaan antara al-Wasatiyyah dan al-Tawazun. Al-Wasatiyyah digunakan untuk hal-hal kehidupan yang tidak ditentukan oleh syariat, seperti pengagihan kekayaan dan kekuasaan politik, manakala al-Tawazun pula digunakan dalam hal-hal yang ada hubung kait dengan syariat, seperti menyeimbangkan antara tuntutan dunia dan akhirat.

Justeru, konsep al-Wasatiyyah yang dikemukakan oleh Ghazali Basri (2008) inilah yang akan digunakan dalam kertas kerja ini. Perkara ini bertepatan dengan Gagasan 1Malaysia yang digunakan untuk mentadbir hal ehwal masyarakat di Malaysia. Secara lebih khusus lagi, ia bertujuan untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya.

BENTUK-BENTUK AL-WASATIYYAH

Konsep al-Wasatiyyah jelas dilihat dalam semua aspek. Menurut al-Qaradawiy (2000:272-279), konsep al-Wasatiyyah terbahagi kepada empat bentuk. Pertama, al-Wasatiyyah dalam aspek ibadah. Kedua, al-Wasatiyyah dalam aspek akhlak. Ketiga, al-Wasatiyyah dalam aspek perundangan. Keempat, al-Wasatiyyah dalam aspek sosial (hubungan antara individu dan masyarakat[6]).

Dari keempat-empat bentuk al-Wasatiyyah ini, bentuk yang ketiga dan keempat akan diguna pakai dalam kertas kerja ini. Tujuan digunakan bentuk al-Wasatiyyah yang ketiga adalah kerana Gagasan 1Malaysia adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan[7]. Perlembagaan Persekutuan ini adalah undang-undang utama negara. Pemilihan bentuk al-Wasatiyyah yang keempat pula kerana perbincangannya tentang kesederhanaan hubungan antara individu dan masyarakat itu selari dengan tujuan gagasan 1Malaysia, iaitu untuk membina kesepaduan yang harmoni dalam masyarakat. Apabila perpaduan antara masyarakat berbilang kaum ini dihubungkan dengan konsep al-Wasatiyyah dan pada masa yang sama masyarakat juga memahami konsep al-Wasatiyyah ini, maka ia akan mudah dicapai dan bertambah kukuh. Menurut Bahagian Penerbitan Dasar Negara (2009:8), apabila perpaduan yang dicapai itu telah kukuh, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Perkara ini telah jelas ditegaskan dalam al-Qur’an (lihat Ali ‘Imran, 3:103)[8] bahawa perpaduan itu adalah satu anugerah besar daripada Allah s.w.t., manakala perpecahan dan permusuhan itu adalah amat dilarang oleh Allah s.w.t. Pengajaran dari ayat ini yang boleh dikaitkan dengan gagasan 1Malaysia ialah semua rakyat hendaklah berpegang teguh kepada prinsip hidup secara berjemaah dan mendukung agenda perpaduan dan pembangunan negara. Apabila kehidupan bersatu padu dapat dibentuk, maka permusuhan dan perpecahan dapat dielakkan. Jika ada masalah pun, ia diselesaikan dengan cara perundingan dan bukannya pergaduhan.

DEFINISI GAGASAN 1MALAYSIA

Oleh kerana Gagasan 1Malaysia lahir daripada idea atau pemikiran Perdana Menteri, Mohd Najib Tun Abdul Razak, maka definisinya juga terlebih dahulu dirujuk kepada penjelasan beliau seperti berikut:

Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita. Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama” (Bahagian Penerbitan Dasar Negara, 2009:8).

Daripada penjelasan Mohd Najib Tun Abdul Razak mengenai Gagasan 1Malaysia ini, maka dapatlah dirumuskan bahawa Gagasan 1Malaysia adalah satu gagasan penyatuan kaum. Di dalamnya terkandung tiga teras utama iaitu prinsip penerimaan, prinsip kenegaraan dan prinsip keadilan sosial. Prinsip gagasan 1Malaysia menghormati dan menghargai prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia. Ini bermaksud Gagasan 1Malaysia adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Hak keistimewaan orang Melayu dan agama Islam tidak akan dipersoalkan, manakala kaum lain bebas untuk mengamalkan agama dan budaya masing-masing. 1Malaysia juga bermaksud kerajaan akan mendahulukan rakyat dan merentasi seluruh lapisan masyarakat serta kumpulan etnik di setiap pelusuk tanah air (Shamsudin Moner, 2010).

MATLAMAT GAGASAN 1MALAYSIA

Gagasan 1Malaysia bermatlamat mengekalkan dan meningkatkan perpaduan dalam kepelbagaian yang selama ini menjadi kekuatan negara dan rakyatnya. Prinsip yang menjadi teras Gagasan 1Malaysia ialah kenegaraan yang berakar umbi daripada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara (Zainul Rijal Abu Bakar, 2010). Daripada penjelasan Zainul Rijal Abu Bakar (2010) ini dapatlah dirumuskan bahawa Gagasan 1Malaysia bukanlah kesatuan agama dan bukan juga kesatuan bangsa atau kesatuan budaya. Ia hanya mengiktiraf keunikan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, budaya dan agama ini atas nama perpaduan demi mencapai pembangunan. Dalam al-Qur’an telah dinyatakan bahawa perpaduan adalah anugerah terbesar daripada Allah s.w.t, manakala perpecahan dan permusuhan adalah suatu yang dicela oleh-Nya. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud :

Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan.  Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk” (Ali ‘Imran, 3:103).


PRINSIP- PRINSIP GAGASAN 1MALAYSIA

Elemen yang menjadi teras utama dalam Gagasan 1Malaysia adalah tiga prinsipnya. Prinsip pertama ialah prinsip penerimaan, kedua ialah prinsip kenegaraan manakala yang ketiga ialah prinsip keadilan sosial. Segala nilai serta prinsip dalam Gagasan 1Malaysia adalah berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Prinsip-prinsip tersebut dihuraikan secara terperinci seperti berikut:

Pertama: Prinsip Penerimaan
Prinsip ini bermaksud walaupun rakyat Malaysia mempunyai cara hidup, amalan, budaya dan agama yang berbeza, tetapi rakyat Malaysia menerima satu sama lain sebagai rakan setia (Bahagian Penerbitan Dasar Negara, 2009). Perbezaan faktor kaum, agama dan budaya tidak sepatutnya menjadi batu penghalang dalam usaha melahirkan masyarakat yang harmoni dengan menyuburkan sikap saling hormat menghormati, memahami dan bertoleransi (Zainul Rijal Abu Bakar, 2010)

Kedua: Prinsip Kenegaraan
Konsep perpaduan, semangat nasionalisme dan cintakan negara telah diterapkan semenjak  dahulu lagi oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. Tunku Abdul Rahman  melalui Parti Perikatan yang dipimpinnya dengan dibantu oleh Tun Tan Cheng Lok, Tun V.T  Sambathan berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajah British untuk Tanah Melayu. Tun Abdul Razak pula mengilhamkan Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru bertujuan untuk menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini. Selain itu, Tun Hussien Onn juga berusaha memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat sehingga digelar ‘Bapa Perpaduan’. Begitu juga dengan Tun Mahathir Mohammad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memperkenalkan Wawasan 2020 dan konsep Cemerlang, Gemilang dan Terbilang sebagai gagasan yang bertujuan untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini (Bahagian Penerbitan Dasar Negara, 2009).

Ketiga: Prinsip Keadilan Sosial
Setiap kaum di negara ini tanpa mengira latar belakang atau agama diberi keadilan  yang sebaik mungkin dari segi kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting. Melalui Gagasan 1Malaysia, setiap wakil rakyat bertindak melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan khidmat mereka kepada kaum-kaum lain. Namun begitu, Gagasan 1Malaysia bukanlah platform bagi mana-mana pihak untuk membuat tuntutan yang keterlaluan dan melampaui batas (Bahagian Penerbitan Dasar Negara, 2009).

HUBUNG KAIT GAGASAN 1MALAYSIA DENGAN KONSEP
AL-WASATIYYAH

Mohd Najib Tun Abdul Razak cuba menghubungkan Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkannya itu dengan konsep al-Wasatiyyah[9]. Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam ucapan beliau seperti berikut:

Gandingan konsep Gagasan 1Malaysia dan konsep al-Wasatiyyah dalam Islam yang mementingkan kesederhanaan dan keseimbangan perlu terus dipromosikan bagi membentuk ummah yang berpaksikan kekuatan iman tanpa mengabaikan prinsip toleransi dan keadilan sosial rakyat berbilang bangsa serta agama di negara ini bagi memastikan sokongan padu rakyat terhadap agenda transformasi sosioekonomi yang sedang dilaksanakan terus mendapat dokongan masyarakat Islam yang merupakan penduduk majoriti negara ini.” (JAKIM, 2010).

Tujuan dihubungkan antara dua perkara ini adalah untuk meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara kaum berdasarkan konsep al-Wasatiyyah. Secara tidak langsung, ia juga bertujuan mengelak daripada lahirnya golongan radikal dan ekstremis dari pelbagai agama, sama ada agama Kristian, Hindu, Buddha, dan Islam sendiri (Ismail Ibrahim, 2009).  Menurut Mohd Najib Tun Abdul Razak (2010:46), konsep al-Wasatiyyah akan merealisasikan ajaran Islam yang lebih komprehensif dan syumul serta berimbang antara pelbagai tuntutan. Ini untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Islam contoh yang maju dan berimbang dalam segenap bidang.

Pandangan Mohd Najib Tun Abdul Razak (2010) ini selari dengan pandangan Ghazali Basri (2008) yang menyatakan al-Wasatiyyah merupakan pendekatan Islam terhadap pelbagai pelbagai masalah pemikiran yang pada kebiasaannya berada dalam dua kontinum yang berbeza iaitu terlalu ekstrem atau liberal. Ia berperanan mengimbangi dan menyediakan pilihan kepada dua keadaan yang ekstrem dengan berpandukan kepada memenuhi objektif hukum-hukum Islam (Maqasid al-Syar’iyyah). Pandangan Ghazali Basri (2008) ini juga selari dengan pandangan Yusof al-Qaradhawi (2003:293 & 2000:2). Menurut beliau, sebaik-baik sikap ialah sikap sederhana, seimbang, berada di antara sikap berlebih-lebihan dan meremehkan, atau di antara sikap melampaui batas (al-Thughyan) dan melalaikan (al-Ikhsar). Maksudnya, al-Wasatiyyah itu ialah keadilan dan kesederhanaan yang berada antara dua aspek yang bertentangan tanpa cenderung sedikit pun kepada salah satunya dengan meninggalkan aspek yang lain.

Gandingan konsep al-Wasatiyyah yang dikatakan mendukung Gagasan 1Malaysia masih baru dan belum dikaji orang secara lebih serius. Jadi, kertas kerja ini cuba merungkaikan perkara ini dengan menganalisis elemen-elemen al-Wasatiyyah dalam Gagasan 1Malaysia.

ANALISIS ELEMEN-ELEMEN AL-WASATIYYAH DALAM GAGASAN 1MALAYSIA

Berdasarkan penelitian terhadap prinsip utama yang terdapat dalam Gagasan 1Malaysia, didapati sememangnya terdapat elemen-elemen al-Wasatiyyah yang mendukung Gagasan 1Malaysia ini. Elemen-elemen al-Wasatiyyah tersebut dijelaskan di bawah.


Pertama: Al-Wasatiyyah Dalam Prinsip Penerimaan
Prinsip ini bermaksud semua rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum bebas untuk mengamalkan agama dan cara hidup masing-masing. Menurut Mashitoh Ibrahim (2011), konsep al-Wasatiyyah boleh dilaksanakan dalam seluruh aspek kehidupan dan salah satunya adalah dalam kehidupan beragama. Agama merupakan satu perkara yang bersifat ekslusif. Oleh itu, perkara ini perlu dititikberatkan supaya tidak menimbulkan konflik dalam masyarakat. Di Malaysia, walaupun masyarakat berbeza agama dan cara hidup, namun mereka saling menghormati dan menerima perbezaan tersebut. Prinsip kebebasan dalam mengamalkan ajaran agama inilah yang dikatakan al-Wasatiyyah. Walaupun termaktub dalam Perlembagaan Malaysia bahawa agama Islam adalah agama rasmi negara, namun penganut agama lain tidak dihalang untuk mengamalkan ajaran agama masing-masing dengan aman dan harmoni.

Berhubung perkara ini, Gagasan 1Malaysia dilihat selari dengan sejarah pembentukan negara dan ketamadunan Islam di Madinah oleh Rasullullah s.a.w. Piagam Madinah yang dipersetujui oleh Rasullullah s.a.w dengan masyarakat bukan Islam menyerlahkan semangat toleransi dalam mengamalkan ajaran agama masing-masing (Mashitoh Ibrahim, 2011). Melalui Piagam Madinah ini masyarakat Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum hidup harmoni dan saling menghormati walaupun berlainan agama. Rasullullah s.a.w memberi kebebasan kepada kaum minoriti dan memberi kebebasan beragama untuk kaum bukan Islam. Hal ini selaras dengan firman Allah s.w.t  yang bermaksud:

“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu, sesiapa yang ingkar kepada thaghut dan beriman kepada Allah s.w.t, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui”. (al-Baqarah, 2:256).

Ayat di atas jelas sekali membuktikan bahawa tidak ada unsur paksaan dalam agama Islam. Umat manusia tidak dipaksa untuk menganutinya, tetapi mereka diajak untuk berfikir. Jika mereka berfikir secara sihat, maka sudah pasti akan sampai kepada Islam. Tetapi jika wujud paksaan, akan timbul pencerobohan fikiran dan sudah tentu akan menimbulkan masalah (Zulkifli Mohamad al-Bakri, 2008). Menurut Yusof al-Qaradhawi (2009:194), pihak pemerintah berhak mengadakan peraturan dan undang-undang yang dapat melindungi dan menjaga kelangsungan kewujudannya. Oleh yang demikian, sistem ini akan tetap menjadi sistem yang hidup dan terus berkembang.

Perkara ini dilihat selari dengan Gagasan 1Malaysia. Buktinya, dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan telah termaktub bahawa agama Islam sebagai agama rasmi. Kedudukan agama Islam lebih tinggi berbanding agama lain. Walaupun agama lain tidak disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan melainkan ia boleh dianuti dan diamalkan dalam aman dan harmoni. Tetapi kebebasan beragama tidaklah bersifat mutlak. Dalam Fasal (4) Perkara 11 memberi kuasa kepada Parlimen dan badan-badan Perundangan Negeri menggubal undang-undang pegawalan agama bukan Islam kepada orang Islam (Mohamed Azam Mohamad Adil et. al, 2010).

Berdasarkan perbincangan di atas, dalam Islam tiada toleransi dalam hal keimanan dan peribadatan. Keagungan dan kemuliaan agama Islam sebagai agama tauhid tetap dipertahankan sepertimana ketika zaman pemerintahan Rasulullah s.a.w. Ketika itu kaum musyirikin telah meminta Rasulullah s.a.w supaya saling sembah-menyembah tuhan masing-masing. Berdasarkan panduan daripada Allah s.w.t., Rasulullah s.a.w tidak bertolak ansur dalam isu yang amat fundamental ini. Baginda s.a.w telah menegaskan kepada mereka seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud:

“Aku tidak akan sembah apa yang kamu sembah. Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah. Dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang kamu sembah. dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah. Untukmu agamamu, dan untukkulah, agamaku” (al-Kafirun, 109:2-6).

Ayat ini menjelaskan tentang kebebasan penganut agama lain untuk mengamalkan ajaran agama mereka. Namun, penganut agama lain tidak boleh mempersendakan agama Islam termasuk agama lain sesuka hati. Di Malaysia, walaupun terdapat pertentangan pendapat dalam amalan agama masing-masing, terutamanya dalam aspek akidah, namun hal ini tidak wajar dibangkitkan dan dipersoalkan. Umat Islam dan penganut agama lain telah bersetuju untuk tidak mempersoalkan kesucian agama masing-masing (Ismail Ibrahim, 2010).

Al-Wasatiyyah dalam Islam juga menekankan sikap saling hormat menghormati walaupun berbeza agama. Akhlak Rasulullah s.a.w. terhadap penganut agama lain yang sepatutnya dijadikan contoh dan teladan dalam aspek kepelbagaian agama ini. Misalnya, hadis yang diriwayatkan daripada Jabir Abdullah r.a. katanya yang bermaksud:

“Satu jenazah telah lalu di hadapan kami (para sahabat), maka Rasulullah s.a.w. berdiri. Lalu kami pun turut berdiri. Kami berkata kepada Rasullullah s.a.w.: “Ya Rasulullah, itu adalah jenazah yahudi”. Sabda Rasulullah s.a.w, “apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah”. (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Daripada hadis di atas, jelaslah bahawa Islam amat menggalakkan umatnya supaya saling hormat menghormati dan bersikap lebih berperikemanusiaan walaupun berbeza agama.

Kedua: Al-Wasatiyyah Dalam Prinsip Kenegaraan
Untuk mengukuhkan perpaduan, identiti yang melambangkan bangsa Malaysia haruslah menjadi keutamaan. Dalam konteks ini, Bahasa Malaysia adalah bahasa yang melambangkan bangsa Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Walaupun bahasa Malaysia menjadi bahasa kebangsaan, tidak bermaksud bahasa-bahasa lain tidak boleh digunakan dan dipinggirkan. Malah, rakyat digalakkan untuk menguasai bahasa asing. Hal ini terbukti apabila sekolah jenis kebangsaan masih dikekalkan walaupun satu sekolah yang berkonsepkan perpaduan iaitu sekolah wawasan[10] diwujudkan (Jabatan Penerangan Malaysia).

Perpaduan serta jurang perbezaan dapat dijaga dengan mengikuti konsep al-Wasatiyyah yang menggambarkan keseimbangan iaitu tidak bersikap keterlaluan dan tidak pula berkurangan. Sikap melampau akan menyebabkan kehancuran. Ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“Binasalah orang yang melampau, binasalah orang yang melampau, binasalah orang yang melampau” (Hadis Riwayat Muslim)

Sikap melampau juga mendorong timbulnya sikap memberatkan masalah-masalah kecil dan tidak ada keterbukaan kepada perbezaan pendapat. Tetapi sikap berlapang dada adalah termasuk faktor keakraban dan perpaduan (Abdul Monir Yaacob & Suzalie Mohamad, 2002:136-137). Secara jelas, perlaksanaan konsep al-Wasatiyyah dalam Gagasan 1Malaysia dalam konteks bahasa ini ialah tidak mendewa-dewakan identiti bangsa lain. Ia bermaksud tidak mendewa-dewakan satu bahasa sahaja. Sebaliknya, Bahasa Malaysia merupakan identiti bangsa Malaysia yang menjadi lambang dan tunjang negara harus dihargai. Rakyat akan sukar untuk menerima identiti ini jika ia dipolitikkan.

Ketiga: Al-Wasatiyyah Dalam Prinsip Keadilan Sosial
Menurut Mohd Ayop Abdul Razid (2010) istilah adil itu sendiri berasal dari perkataan Arab al-‘Adalah yang mempunyai maksud yang sama dengan ‘qist’ dan ‘wasat’ yang bermaksud ‘tengah’ atau ‘pertengahan’. Dalam Islam, hak sosial dan kemaslahatan umum sangat dijaga selain daripada hak individu. Keadilan sosial merupakan aspek penting untuk menzahirkan kebaikan atau sikap al-Wasatiyyah ini dalam masyarakat. Prinsip kesederhanaan menjadi roh dan intipati Gagasan 1Malaysia yang bertujuan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Al-Wasatiyyah dalam prinsip keadilan sosial ini dapat dilihat dalam dua aspek utama. Pertama, al-Wasatiyyah dalam pengagihan kuasa politik dan kedua, al-Wasatiyyah dalam pengagihan kekayaan. Kedua-dua aspek ini akan dijelaskan seperti di bawah.

a.                  Pengagihan Kuasa Politik
Sebagai sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum, pengagihan kuasa politik juga perlulah mewakili kaum-kaum yang ada. Ia bagi mengelakkan timbulnya perasaan ketidakpuasan hati terhadap pemerintah seterusnya boleh mencetuskan keadaan huru-hara. Setiap kaum di Malaysia telah diberi ruang untuk menubuhkan parti politik mereka masing-masing. Misalnya, UMNO yang mewakili orang Melayu, MCA yang mewakili orang Cina dan MIC yang mewakili kaum India serta parti-parti komponen lain. Kebijaksanaan dalam mengagihkan kuasa politik ini jelas berdasarkan konsep al-Wasatiyyah.

Sejarah telah membuktikan bahawa di beberapa wilayah Islam, masyarakat bukan Islam juga terlibat dalam urusan pentadbiran. Misalnya di Andalusia, terdapat wilayah-wilayah tertentu telah diperintah oleh kaum Yahudi. Masyarakat Kristian dan Yahudi ketika itu telah menerima wilayah-wilayah ini sebagai wilayah Islam tanpa sebarang tekanan dan paksaan (Suzalie Mohamad, 2009).

Dalam konteks Malaysia, walaupun kaum Melayu-Islam merupakan kaum majoriti, namun kaum-kaum lain seperti Cina dan India juga terlibat dalam barisan kepimpinan. Jelas di sini bahawa pengagihan kuasa politik adalah berdasarkan konsep al-Wasatiyyah. Pengagihan kuasa yang mengikut konsep al-Wasatiyyah ini dapat mengelakkan berlakunya tuntutan yang melampau sesuatu kaum untuk mendapatkan lebih kuasa.

b.                  Pengagihan Kekayaan
Segala apa yang ada di dunia dan di langit adalah hak milik mutlak Allah s.w.t. Ini sebagaimana yang dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Kepunyaan Allah-lah segala yang ada di langit dan dibumi, dan kepada Allah-lah dikembalikan segala urusan” (Ali ‘Imran, 3:109).

Ayat di atas menjelaskan bahawa harta kekayaan itu bukanlah hak milik mutlak seseorang individu atau sesuatu kaum, malah ia adalah milik Allah s.w.t. Manusia hanya diamanahkan sebagai pengguna mengikut kadar keperluan kehidupan mereka sahaja.
Jika disoroti sejarah pemerintahan Islam pada zaman Khulafa’ al-Rasyidin, masyarakat bukan Islam diberikan layanan yang baik dan tidak dipinggirkan daripada menikmati kekayaan negara.  Berlaku satu peristiwa apabila Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a bertemu seorang tua keturunan Yahudi sedang meminta sedekah. Beliau sangat bersimpati dengan keadaan Yahudi itu dan bertanya akan hal yang menyebabkan demikian. Yahudi itu menjelaskan keadaannya yang uzur menyebabkannya tidak berkemampuan untuk bekerja. Setelah mendengar jawapan itu, Khalifah ‘Umar al-Khattab r.a. terus membawa Yahudi itu ke rumahnya dan kemudian menghantarnya ke Baitulmal. Di sana ‘Umar al-Khattab r.a. memerintahkan supaya diberi bantuan kepada warga tua Yahudi tersebut. ‘Umar al-Khattab r.a. berkata yang bermaksud:

“Tidak ada keadilan, kita pungut jizyah daripada mereka ketika mereka masih muda dan meninggalkan mereka apabila mereka tua” (dipetik dari Suzalie Mohamad, 2010).

Sikap al-Wasatiyyah juga mendorong seseorang supaya berlaku adil pada musuhnya. Allah s.w.t juga telah menegaskan perkara ini di dalam al-Qur’an (lihat al-Ma’idah, 5:8)[11] supaya berlaku adil sesama manusia tanpa mengira kaum. Sikap adil ini akan meningkatkan ketakwaan manusia kepada Allah s.w.t.
Dalam konteks pemerintahan dan pentadbiran, setiap aspek pembangunan yang dirangka perlu diukur agar ia menjaga kemaslahan umum. Di Malaysia, pernah berlaku rusuhan 13 Mei 1969 akibat daripada kewujudan jurang ekonomi antara kaum yang menyebabkan timbulnya ketidakpuasan hati rakyat. Untuk menyelesaikan masalah itu, perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB)[12] pada tahun 1970-1990 adalah contoh terbaik dalam menyelesaikan jurang ekonomi antara kaum di Malaysia. Sebenarnya inilah yang dikatakan al-Wasatiyyah yang dilakukan oleh Perdana Menteri terdahulu untuk mengelakkan berlakunya perpecahan kaum. Orang Melayu-Islam pada ketika itu yang jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi telah dibela tanpa mendiskriminasikan kaum-kaum lain (Mohd Ayop Abdul Razid, 2010).

Pada zaman pemerintahan Khulafa’ al-Rasyiddin, masyarakat bukan Islam tidak dikenakan zakat, tetapi dikenakan cukai yang dinamakan al-Jizyah. Tujuannya adalah untuk menjamin keselamatan dan perlindungan kepada mereka daripada ancaman luar. Untuk melahirkan kesepakatan dan merapatkan hubungan sesama masyarakat, konsep al-Wasatiyyah sangat penting dan sikap melampau patut diketepikan (Bahagian Penterjemahan dan Editorial Pustaka Salam Sdn. Bhd, 2004). Menurut Mashitoh Ibrahim (2011), semangat melampau berteraskan perkauman dan ideologi menjadi pemangkin kepada ketidakstabilan sosio-politik sesebuah negara.

Oleh itu, soal pengagihan kekayaan juga merupakan faktor penting untuk mewujudkan kestabilan sosial dalam kalangan masyarakat. Ia perlu diberi perhatian yang serius dan diagihkan secara saksama supaya ia menjadi seimbang. Jelas di sini bahawa konsep al-Wasatiyyah telah berjaya mengharmonikan hubungan antara kaum di Malaysia. Golongan yang lemah dan miskin dibela tanpa mengira bangsa atau agama. Secara tidak langsung perpecahan dan rasa ketidakpuasan hati dapat dielakkan.

Kesemua analisis elemen-elemen al-Wasatiyyah dalam Gagasan 1Malaysia yang telah dinyatakan di atas dapat digambarkan dengan lebih jelas dalam Rajah 1 di bawah.
        
Text Box: Eleman-Elemen Al-Wasatiyyah
 


















Rajah 1: Elemen-Elemen Al-Wasatiyyah Dalam Gagasan 1Malaysia

Rajah 1 ini mempamerkan bahawa konsep al-Wasatiyyah digunakan untuk menganalisis Gagasan 1Malaysia. Penganalisisan ini hanya difokuskan kepada tiga prinsipnya, iaitu prinsip penerimaan, prinsip kenegaraan dan prinsip keadilan sosial. Daripada analisis yang dibuat, terdapat satu elemen al-Wasatiyyah sahaja dalam prinsip penerimaan, iaitu pada aspek kebebasan beragama. Begitu juga pada prinsip kenegaraan, hanya terdapat satu elemen al-Wasatiyyah sahaja, iaitu pada aspek penggunaan bahasa kebangsaan. Manakala pada prinsip keadilan sosial pula, terdapat dua elemen al-Wasatiyyah iaitu pada aspek pengagihan kuasa politik dan pengagihan harta kekayaan.

KESIMPULAN

Berdasarkan perbincangan di atas, kertas kerja ini merumuskan bahawa sebagai sebuah negara yang mempunyai agama dan budaya yang pelbagai, pendekatan al-Wasatiyyah di Malaysia perlu diperluaskan ke dalam segala aspek pemerintahan. Di Malaysia ketika ini, konsep al-Wasatiyyah dijadikan tunjang kepada pelaksanaan Gagasan 1Malaysia. Setelah diteliti, ia jelas wujud dalam ketiga-tiga prinsip Gagasan 1Malaysia tersebut. Justeru, al-Wasatiyyah merupakan satu pendekatan dan jalan terbaik dalam usaha mencapai visi dan misi utama Gagasan 1Malaysia, iaitu untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan budaya. Dalam Islam, pendekatan al-Wasatiyyah menyatukan manusia tanpa merosakkan kepelbagaian hidup yang wujud itu. Ia juga selari dengan konteks negara Malaysia yang mempunyai masyarakat majmuk. Dengan menggunakan pendekatan al-Wasatiyyah ini, perpaduan kaum dapat dicapai tanpa menghapuskan identiti sesuatu bangsa.

BIBLIOGRAFI

Abdulmalik Abdulkarim Amrullah (1982). Tafsir al-Azhar. Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd.

Abdul Monir Yaacob & Suzalie Mohamad (2002). Etika dan Budaya Berpolitik Dari Perspektif Islam. Kuala Lumpur: Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Abdullah Basmeih (2001). Tafsir Pemimpin Ar-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an. Kuala Lumpur: Darul Fikir.

Abu al-Fida Ismail Ibn Kathir (2003). Tafsir Ibn Kathir, terj. Shaykh Safiur-Rahman Al-Mubarakpuri. Riyadh: Darussalam.

Ahmad Omar Hashem (2006). Moderation in Islam. Tanpa Penerbit

Bahagian Penerbitan Dasar Negara (2009). Satu Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan. Diakses dari http://www.kpkk.gov.my/pdf/Booklet_1Malaysia.pdf, pada 28 September 2010.

Bahagian Penterjemahan dan Editorial Pustaka Salam Sdn. Bhd (2004). Kebangkitan Islam di Antara Perselisihan Yang Dibenarkan dan Perpecahan yang dicela. Kula Lumpur: Pustaka Salam Sdn. Bhd.

Ghazali Basri (2008). Dinamika Tasawwur Islam Dalam Pembentukan Keperibadian Umat. Seri Begawan: Pusat Penerbitan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Haron Din (1992). Tasawwur Islam. Shah Alam, Selangor: Pustaka Hizbi.

Imam Munawwir (1986). Posisi Islam di Tengah Pertarungan Ideologi dan Keyakinan. Surabaya: PT Bina Ilmu.

Ismail Ibrahim (2010). 1Malaysia Dalam Konteks Kepelbagaian Agama. Diakses dari http://ummatanwasatan.net/2009/08/1malaysia-dalam-konteks-kepelbagaian-agama, pada 17 Ogos 2010.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) (2010). Konsep Wasatiyyah Pendokong Gagasan 1Malaysia 1Ummah. Diakses dari http://www.islam.gov.my/konsep-wasatiyyah-pendokong-gagasan-1malaysia-1ummah, pada 22 Mac 2011.

Jabatan Penerangan Malaysia (2008). Sekolah Wawasan. Diakses dari http://pmr. penerangan.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=1199:sekolah-wawasan&catid=180:jenis-jenis, pada 23 Mac 2011.

Khadijah Mohd Khambali@Hambali & Nor Adina Abdul Kadir (2010). “Pendekatan Wasatiyyah Dalam Pengaplikasian Islam Hadhari di Dalam Memperkasa Misi 1Malaysia”, kertas kerja yang dibentang di Seminar Kebangsaan 1Malaysia, anjuran Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah (UMS), bertempat di Universiti Malaysia Sabah, pada 1-3 November.

Mahamad Kamil bin Abdul Majid (2004). “Islam Hadhari Dari Perspektif Pemikiran Islam”, kertas kerja yang dibentang di Seminar Antarabangsa Islam Hadhari, anjuran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, bertempat Universiti Malaya, Kuala Lumpur, pada 24-25 November.

Mashitoh Ibrahim (2011). Minda: Wasatiyyah Tangani Kepelbagaian Kaum. Diakses dari http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/minda_Wasatiyyahtanganikepelbagaiankaum/Article, pada 18 Mac 2011.

Mohamed Azam Mohamed Adil et.al (2010). “1Malaysia: Satu Analisis Dari Perspektif Perlembagaan Persekutuan”, kertas kerja yang dibentang di Seminar Kebangsaan 1Malaysia, anjuran Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa Universiti Malaysia Sabah (UMS), bertempat di Universiti Malaysia Sabah, pada 1-3 November.

Mohamed Baianonie (2004). The Ummah of Moderation. Diakses dari http://islam1.org/ khutub/Moderation%20.doc, pada 28 Oktober 2010.

Mohd Asri Zainul Abidi (2007). Hak Wanita: Antra Hukum Tuhan dan Pelaksanaan Insan. Diakses dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt= 0715&pub= Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm, pada 20 Mac 2011.

Mohd Ayop Abdul Razid (2010). Prinsip Kesederhanaan Mampu Wujudkan Kesejahteraan Sosial. Diakses dari http://www.bharian.com.my/articles/ Prinsip kesederhanaanmampuwujudkankesejahteraansosial/Article/print_html, 14 Januari 2010.

Mohd Najib Tun Razak (2010). Transformasi Minda Memeta Wawasan Melaksana Amanah. Kuala Lumpur: Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Mohd Ridhuan Tee (2010). Memahami Wasatiyyah. Diakses dari http://www. Themalaysianinsider.com/breakingviews/article/memahami -wasatiyyah-dr-mohd-ridhuan-tee/, pada 28 September 2010.

Muhammad Haniff Hassan (2003). Muslim Moderat Warga Singapura. Singapura: PERDAUS dan Lembaga Pentadbir Masjid al-Khair.

M. Periasamy (2010). Apakah Warna 1Malaysia (Terjemahan Artikel Siaran Akhbar Tamil ‘Malaysia Nanban’). Diakses dari http://www.jasa.gov.my/index. php/bm /media/ koleksi-artikel/27-what-non-malay-newspapers-said/381-apa-matlamat-sebenar-gagasan-1malaysia-.html pada 23 Mac 2010.

M.Quraish Shihab, (1996). Wawasan al-Quran Tafsir Maudhu‘i Atas Pelbagai Persoalan Umat. Bandung: Penerbit Mizan.

Nik Salida Suhaila Nik Saleh (2010). Kesederhanaan Dapat Imbangi Fardhu Ain, Kifayah. Diakses dari http://epondok.wordpress.com/ 2010/10/03/kesederhanaan-dapat-imbangi-fardhu-ain-kifayah/, pada 13 Oktober 2010.

Salahuddin Abdullah Omar Khalid (2009). Tafsir Mubin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sayyid Qutb (2000). Tafsir fi Zilalil Qur’an, terj. Yusoff Zaky Haji Yacob. Kota Bharu, Kelantan: Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.

Shamsudin Moner (2009). 1Malaysia, Penyatuan Pemikiran dan Perjuangan (Bahagian Pertama). Diakses dari http://ummatanwasatan.net/2009/07/1malaysia-penyatuan-pemikiran-dan-perjuangan-bhg-pertama/, 28 September 2010.

Suzalie Mohamad (2009). Hubungan Harmoni Antara Kaum dan Agama Kunci Kestabilan Negara. Diakses dari http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg =1&opt=com_ article&grp=2&sec=&key=1968&cmdresetal, pada 28 September 2010.

Syekh Muhammad Mutawwali Sya’rawi (2004). Tafsir Sya’rawi, terj. Tim Safir al-Azhar. Jakarta: Penerbit Duta Azhar.

Wan Asma’ Wan Abu Bakar et.al (2010). Globalisasi Sosial dalam Dunia Islam dalam Beberapa Perspektif dalam Pemikiran Islam. Selangor: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA) UiTM.

Yusof al-Qaradhawi (2009). Agama dan Politik. Wawasan Ideal dan Menyanggah Kekeliruan Pemikiran Sekular-Liberal, terj. Ibnu Sham. Kuala Lumpur: Alam Raya Enterprise

Yusof al-Qaradhawi (2003). Kebangkitan Gerakan Islam Dari Masa Transisi Menuju Kematangan, terj. H. Abdullah Hakam Shah dan HM. Aunul Abied Shah. Jakarta:Pustaka al-Kautsar.

Yusof al-Qaradhawi (2000). Pengantar Pengetahuan Islam, terj. Mohammad Zaini Yahya. Selangor: As-Syabab Media.

Zainul Rijal Abu Bakar (2010). 1 Malaysia Dari Aspek Perundangan Pembentukan Jati Diri Kebangsaan. Diakses dari http://zainulrijal. abubakar.my/?p=24, pada 22 Oktober 2010.

Zulkifli Mohamad al-Bakri (2008). Al-Wasatiah: Kaedah Pendekatan Islam. Terengganu: Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).




[1] Nurul Huda Yacob adalah pelajar Sarjana Pengurusan Pembangunan Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
[2] Beliau memperkenalkan konsep Wawasan 2020.

[3] Beliau memperkenalkan konsep Cemerlang,Gemilang, Terbilang.
[4] Al-Wasatiyyah merupakan salah satu daripada ciri-ciri tasawur Islam. Untuk perincian tentang perkara ini, lihat Haron Din (1992:111-123) dan Ghazali Basri (2008:8-9).
[5] Firman Allah s.w.t yang bermaksud “Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat pilihan (umat yang pertengahan) lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia ( tentang yang benar dan yang salah), dan Rasullullah ( Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu.” Selain itu, istilah al-Wasatiyyah ini juga disebut dalam beberapa ayat yang lain, seperti al-Wusta (al-Baqarah, 2:238), awsat (al-Ma’idah, 5:89), awsatuhum (al-Qalam, 68:28) dan fawasatna (al-‘Adiyat, 100:5).
[6] Individu sebagai asas, sementara masyarakat pula sebagai satu yang baru. Hal ini kerana masyarakat itu terdiri daripada individu-individu (al-Qaradawiy, 2000:276).

[7] Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi Malaysia. Perlembagaan Persekutuan ini juga merupakan satu dokumen yang mengandungi semua perkara-perkara yang telah dipersetujui oleh semua kaum semasa negara mencapai kemerdekaan (kontrak sosial).( M.Periasamy, 2010).
[8] Firman Allah s.w.t. yang bermaksud, “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan.  Maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.”

[9] Untuk menetapkan beberapa pengisian, hala tuju dan perancangan pelaksanaan konsep al-Wasatiyyah ini agar ia selaras dengan kehendak kerajaan yang ingin mewujudkan perpaduan yang lebih harmoni di kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama dan resam budaya di negara ini, maka kumpulan Panel Pemikir Konsep al-Wasatiyyah dibentuk. Ia diketuai oleh Jamil Khir Hj. Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JAKIM, 2010).
[10] Sekolah integrasi ini berpegang pada konsep belajar bersama-sama dibawah satu satu bumbung atau satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum dan agama. Konsep ini juga bermaksud dua atau tiga buah sekolah yang berlainan aliran dan pentadbiran dibina dalam kawasan yang sama dan berkongsi kemudahan-kemudahan asas seperti padang permainan, dewan, pusat sumber, bilik komputer dan kantin.
[11] Firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

[12] DEB bukan diputuskan kepemimpinan Melayu (UMNO) semata-mata tetapi digubal melalui permuafakatan politik Barisan Nasional (BN) di mana semua pemimpin pelbagai kaum dalam BN bersetuju dan menerimanya sebagai satu dasar ‘affarmative’ untuk membantu Melayu yang ketinggalan dalam bidang sosioekonomi ketika itu. Mereka menyedari kemunduran Melayu dalam bidang ekonomi akan menyebabkan berlakunya jurang sosial dalam masyarakat sekali gus boleh mencetuskan ketidakstabilan sosial (Mohd Ayop Abdul Razid, 2010).