Tuesday, August 31, 2010

Isu Globalisasi dan Impaknya kepada Identiti Muslim

 (klik untuk artikel)

Globalisasi menurut Kamus Dewan ialah fenomena yang menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat. Menurut Mohd Mazran Mohd Fauzi (2006) cendekiawan barat pula mentakrifkan globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial dan ekonomi yang boleh dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan. Globalisasi memberi kesan positif mahupun negatif terhadap kehidupan manusia. Antara kesan negatif adalah lunturnya nilai agama dan budaya (Al- Andang 1998:16). Dalam zaman yang serba moden ini, masyarakat dunia terdedah dengan pelbagai dakyah, tipu helah dan fitnah yang dibawa oleh globalisasi sama ada dalam aspek keselamatan sejagat mahupun dalam pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada aspek kemanusiaan, politik, ekonomi, sosial serta agama. Hal ini telah dibincangkan dalam artikel bertajuk Isu Globalisasi dan Impaknya Kepada Identiti Muslim daripada portal Ukhwah.com.
Ideologi-ideologi seperti sekularisme, pluralisme, dan liberalisme telah merosakkan agama dan menggoyahkan keimanan masyarakat Muslim. Timbulnya ideologi sekularisme yang menidakkan peranan agama dalam kehidupan, pluralisme yang meyakini bahawa semua agama sama dan benar dan liberalisme agama yang mengkaji agama secara bebas tanpa berpandukan saluran yang sebenarnya. Perkara yang menjadi kebimbangan apabila kebanyakan negara yang menerima impak globalisasi tersebut ialah negara-negara yang majoriti penduduknya terdiri daripada masyarakat Muslim. Yusuf al-Qaradawi berpendapat:

"Adapun globalisasi, kami melihat berdasarkan seruannya sehingga ke hari ini, ia adalah pemaksaan penguasaan politik, ekonomi, budaya dan sosial daripada Amerika Syarikat terhadap dunia, khususnya dunia timur dan dunia ketiga, bahkan secara lebih khusus, dunia Islam."(Ahmad Yussuf 2007).
Globalisasi menjadi satu alat untuk saling mempengaruhi antara peradaban, budaya, ideologi bahkan agama. Pengaruh ini menyebabkan budaya dan agama telah tercemar dengan unsur-unsur yang sama sekali bertentangan dengan budaya dan juga agama Islam. Barat khususnya Amerika Syarikat telah membawa masuk ideologi liberalisme dan kapitalisme hampir dalam kesemua negara-negara di dunia. (Dwi Contro Triono 2009).

Sebenarnya, kerosakan dan keruntuhan nilai moral dan agama adalah kerana kuasa hegemoni dikuasai oleh Amerika Syarikat, kuasa hegemoni yang dimaksudkan disini adalah kuasa dalam politik dan ekonomi. Syarikat-syarikat gergasi seperti Microsoft, Google, Coca-cola, McDonalds, Intel dan banyak lagi adalah kepunyaan Amerika Syarikat.(Muhammad Nuruddin Bashah 2010). Faktor inilah yang menyebabkan kelunturan budaya dan agama, seperti dalam kisah Ahmad yang diceritakan dalam artikel, dapat dilihat bahawa identiti muslim sama sekali telah pupus dalam masyarakat sekarang. Budaya menyambut hari lahir dan makan di restoran-restoran Barat seperti McDonalds, Kentucky Fried Chiken (KFC) dan sebagainya bertentangan dengan budaya kita.
Senjata utama yang digunakan dalam globalisasi ialah media, media memainkan peranan yang besar dalam mencapai apa yang diinginkan. Televisyen, panggung wayang, dan Internet menjadi senjata utama untuk menyebarkan dakyah oleh Amerika Syarikat. Filem-filem dari barat di panggung wayang dan televisyen banyak menyajikan tayangan-tayangan pergaulan bebas. Islam dan hiburan Islam adalah satu cara hidup yang sangat meraikan dan tidak pernah sekali-kali menyekat naluri fitrah manusia termasuklah berhibur seperti mendengar muzik, bunyi-bunyian dan nyanyian asalkan sahaja hiburan itu tidak menyalahi hukum-hukum syarak. Hiburan dalam Islam bertentangan sekali dengan hiburan yang ditonjolkan oleh barat. Dalam Islam, antara matlamat utama manusia ini dicipta oleh Allah s.w.t adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah Az-Zariyyat :56)

Oleh itu, menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim untuk menjadikan setiap aktiviti termasuk berhibur sentiasa berada di dalam ruang lingkup beribadah kepada Allah s.w.t. Setiap hukum yang ditetapkan oleh Allah mempunyai tujuan yang jelas. Jadi, setiap apa yang dilakukan mestilah tidak melanggar syarak.
Agama Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t telah menetapkan peraturan-peraturan dan garis panduan yang sempurna bukan sahaja sesuai pada sebarang tempat dan masa, malahan bertepatan dengan naluri dan fitrah makhluk manusia ciptaan-Nya. Sebarang percanggahan atau pelanggaran batas-batas yang ditetapkan ini akan mengakibatkan berlakunya kepincangan dan kerosakan kepada kehidupan dan diri manusia itu sendiri.
Kewujudan globalisasi atau dunia tanpa sempadan menghalalkan kebebasan menyalurkan pembangunan sosial ala Barat sebagai satu agenda yang mengkufurkan kesucian beragama. Tidak dapat dinafikan bahawa globalisasi mempunyai manfaat kepada pembangunan ekonomi sejagat kerana mewujudkan unsur kerjasama, iaitu falsafah yang menggunakan konsep perkongsian pintar. Sistem ekonomi global hari ini bukan lagi suatu rangkaian ringkas kesan sehala, tetapi suatu jaringan perhubungan respons yang kompleks. Perkongsian pintar adalah tentang perkonsian secara adil dan saksama.
Jika globalisasi tidak dikawal, ini memungkinkan kesucian Islam akan tercemar dan tidak dihormati sebagaimana diketahui Islam adalah agama Allah s.w.t yang wajib dipertahankan. Oleh itu, langkah-langkah bagi mengatasi masalah yang berpunca daripada globalisasi ini harus dilaksanakan agar tidak menular dalam kehidupan seharian masyarakat Islam sedunia. Antara langkah yang boleh diambil ialah dengan pendekatan tajdid dalam kehidupan. Tajdid merupakan suatu proses pembaikan ataupun suatu perubahan bertujuan untuk mengembalikan sikap dan pengamalan umat Islam kepada ajaran Islam itu sendiri dan digabungkan dengan kemajuan era globalisasi yang berpaksikan kepada al-Quran dan sunnah. (Mohd Mazran Mohd Fauzi 2006).

Kesimpulannya, menepati kehendak fitrah manusia memperlihatkan bahawa tuntutan pembangunan dan kemajuan tamadun Islam adalah bertepatan dengan kehendak naluri manusia yang menitikberatkan spiritual, emosional dan moral berbanding fizikal dan material. Tamadun yang dibangunkan secara lahiriah dan menitikberatkan aspek material berbanding spiritual hanya dapat memenuhi tuntutan hawa nafsu dan tidak berlandaskan ilmu dan ilham.

1 comment:

  1. mens wedding bands titanium
    Men's wedding rings titanium rings for men titanium. Men's wedding ring tips. mokume gane titanium Men's gr5 titanium wedding rings titanium mens rings titanium. Men's wedding ring tips. columbia titanium jacket Men's wedding ring tips. Men's wedding ring tips. Men's wedding ring tips

    ReplyDelete