Monday, October 18, 2010

Ciri-ciri tasawur Islam: Al-'Alamiyyah

Pendahuluan


Artikel ini membincangkan tentang konsep al-‘Alamiyyah. Perbincangan dalam kertas kerja ini terbahagi kepada tiga bahagian utama. Bahagian pertama membincangkan tentang konsep al-‘Alamiyyah. Ia memberi tumpuan kepada definisi dan ciri-ciri yang terdapat dalam al-‘Alamiyyah. Bahagian kedua pula menyentuh tentang hubung kait konsep al-‘Alamiyyah dengan pembangunan berteraskan Islam (PBI). Bahagian ketiga merupakan bahagian penutup dan rumusan daripada keseluruhan perbincangan dalam artikel ini.



Konsep Al-‘Alamiyyah

Islam adalah agama yang diwahyukan oleh Allah s.w.t. Ia begitu istimewa, praktikal dan amat sesuai dengan fitrah semula jadi manusia (Ahmad Mohd. Salleh, 2003:3-4). Keistimewaan dan keindahan Islam itu dapat dilihat daripada beberapa ciri khususnya. Antara ciri tersebut yang akan difokuskan perbincangannya di sini ialah al-‘Alamiyyah. Al-‘Alamiyyah berasal daripada perkataan Arab iaitu al-‘Alam yang bermaksud sejagat atau sekalian alam (Ramlan Ahmad & Nor Aishah Raduan, 2002:108). Menurut Yusuf al-Qardhawi (1996), al-‘Alamiyyah bermaksud bersifat antarabangsa. Beliau menyatakan Islam sebagai risalah langit yang diturunkan untuk seluruh manusia di muka bumi ini. Senada dengan pandangan Yusuf al-Qardhawi (1996) ini ialah pandangan Zulkifli Ahmad (2001:36). Menurut beliau, al-‘Alamiyyah bermaksud Islam sebagai sebuah agama yang sesuai kepada semua manusia tidak kira bangsa, tempat dan zaman. Islam menjelaskan kemuliaan ajarannya ini ditujukan untuk semua manusia secara umum.



Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:



”Dan Kami tidak mengutus engkau (Muhammad) kecuali untuk membawa rahmat bagi seluruh alam.” (al-Anbiya, 21:107)



Konsep al-‘Alamiyyah ini mempunyai beberapa ciri utama. Antaranya ialah Islam sebagai agama yang memuliakan manusia. Manusia adalah makhluk yang paling mulia di sisi Allah s.w.t di dunia ini. Manusia berasal daripada keturunan Nabi Adam a.s. Dengan rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t. kepada manusia, maka, manusia dikurniakan akal yang tiada pada makhluk lain. Oleh itu Allah s.w.t. telah mengamanahkan kepada manusia untuk menjadi khalifah untuk mengurus dan mentadbir alam ini. Nilai keadilan dalam Islam juga bersifat sejagat. Islam amat menekankan kesaksamaan dan keadilan. Agama Islam tidak membezakan manusia berdasarkan ras, keturunan, warna kulit, taraf ekonomi atau sempadan geografi. Semua manusia mempunyai haknya yang tersendiri dan manusia itu berhak mendapat haknya jika dia berhak. Keadilan harus ditegakkan tanpa mengira musuh, saudara atau kawan. (Zulkifli Ahmad, 2001:36-37)



Islam sentiasa menyeru umatnya menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Menurut Maudoodi (1985:30), al-Qur’an menamakan kebaikan itu dangan al-Ma’ruf (yang termaklum) dan menamakan kejahatan dengan al-Mungkar (yang dibantahi). Al-Ma’ruf itu ialah yang diketahui oleh manusia dan yang digemari dan disukainya, manakala al-Mungkar pula ialah yang dibantahi, dicemuh dan dipandang jijik oleh manusia. Segala bentuk kebenaran seperti amal kebajikan, saksama, dan amanah sentiasa perlu diamalkan oleh manusia, manakala kemungkaran seperti maksiat dan kejahatan pula harus dihalang dan dicegah daripada berlaku.



Menurut Zulkifli Ahmad lagi (2001:38), Islam menjamin hak asasi manusia dalam segala aspek kehidupan mereka di dunia. Islam tidak memaksa seseorang untuk memilih Islam sebagai cara hidup mereka. Islam juga memberi kebebasan bersuara dan berfikir kepada umat manusia tetapi mestilah untuk tujuan yang baik bagi mengembangkan ilmu dan mendapat kebenaran. Manusia juga dibenarkan untuk mengumpul harta. Mencari harta yang halal dan sah adalah amal ibadat di dalam Islam. Islam memelihara harta benda penganutnya. Oleh itu, Islam telah mensyari’atkan hukuman terhadap orang yang mengambil atau mencuri harta benda orang lain tanpa mengambil kira statusnya. Sebagai makhluk yang mulia disisi Allah s.w.t, manusia diwajibkan untuk menjaga kehormatan diri. Tidak kira keturunan atau warna kulit, kehormatan haruslah dipelihara. Setiap manusia mempunyai hak untuk hidup dan beribadah kepada Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t yang berhak mengambil nyawa manusia, jadi Islam melindungi manusia daripada dicederakan atau dibunuh melalui undang-undang qisas.



Zulkifli Ahmad (2001:39) juga menyatakan bahawa Islam adalah agama yang paling mengutamakan kedamaian dan kesejahteraan. Ini berdasarkan maksud Islam itu sendiri iaitu aman, sejahtera dan damai. Peperangan hanya dibenarkan untuk mempertahankan negara, ummah dan kesucian agama Islam. Islam tidak memusuhi sesiapa melainkan mereka yang menentang agama Islam. Islam mendidik sahsiah umatnya supaya mempunyai akhlak yang baik.



Hubung Kait Al-‘Alamiyyah Dengan Pembangunan Berteraskan Islam (PBI)

Berdasarkan keseluruhan perbincangan di atas, didapati al-‘Alamiyyah boleh dihubungkan dengan pembangunan berteraskan Islam (PBI). Misalnya, salah satu daripada ciri al-‘Alamiyyah menyatakan Islam sebagai agama yang memuliakan manusia. Begitu juga dalam PBI apabila manusia diletakkan sebagai pelaku PBI. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003:26-31), konsep manusia dalam teori pembangunan lazim adalah sangat berbeza dengan teori PBI. Pembangunan lazim melihat manusia dari aspek fizikal dan keupayaannya semata-mata. Berbeza dengan teori PBI yang melihat manusia tidak cukup sebagai satu manusia. Manusia tidak dilahirkan hanya untuk menjalankan fungsi yang stereotaip dan sirkulistik iaitu mengguna, membesar, belajar, bekerja, berkeluarga, reproduktif dan meninggal dunia. Fungsi manusia sebenarnya lebih khusus, status manusia sebagai hamba dan khalifah Allah tidak boleh lekang dari dirinya. Menurut beliau lagi, dalam proses pembangunan, manusia tidak boleh menjadi hamba pembangunan kerana pembangunan adalah sebenarnya untuk manusia. Kemuliaan manusia dapat dilihat apabila Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Manusia mampu untuk menjalankan tanggungjawab mereka sebagai khalifah atau wakil Allah s.w.t di muka bumi. Status sebagai khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini jelas tergambar dalam firman Allah s.w.t yang bermaksud:



”Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: ”Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi ini”. Mereka berkata: ”Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?” Tuhan berfirman: ”Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui. (al- Baqarah 2:30)



Selain itu, al- ’Alamiyyah juga berkait prinsip PBI yang keempat iaitu ilmu fardhu ’ain sebagai kerangka pembangunan. Ilmu farhu ’ain wajib dipelajari dan diamalkan oleh setiap individu Islam. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003:41), ilmu fardhu ’ain terbahagi kepada tiga jenis iaitu Ilmu Tauhid, Ilmu Fekah dan Ilmu Tasawwuf. Ilmu tasawwuf berhubungan dengan akhlak yang memandu manusia mengenali sifat-sifat terkeji (mazmumah) yang ada dalam diri masing-masing dan menyediakan kaedah menghapuskannya serta menggantikannya dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah). Ilmu tasawwuf atau akhlak ini berkait dengan ciri al-‘Alamiyyah iaitu menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Segala amalan yang terpuji (mahmudah) adalah ma’ruf dan terkandung dalam ilmu fardhu ’ain inilah yang menjadi tunjang dalam PBI, manakala amalan yang dikeji (mazmumah) pula merupakan perkara-perkara mungkar perlu dihindar bagi mewujudkan PBI, contohnya makanan yang halal dan suci di sisi Islam mestilah menjadi keutamaan.



Kesimpulan

Kesimpulannya, daripada perbincangan di atas, jelas membuktikan ciri-ciri yang terdapat dalam al-‘Alamiyyah merupakan antara teras dalam PBI. PBI tidak akan dapat diwujudkan jika manusia sebagai pelaku pembangunan tidak menjadikan ciri-ciri al-‘Alamiyyah sebagai acuan pembangunan.

3 comments:

  1. Mohon untuk mengambil sedikit maklumat daripada artikel saudari untuk membantu tugasan saya. Mudah - mudahan saudari diberkati oleh Allah insyaAllah. Terima kasih :D

    ReplyDelete
  2. Salam, terima kasih kerana telah menerangkan tentang al-alamiyyah. sesungguhnya berkongsi ilmu membuatkan Allah sayang akan hamba-Nya. mohon untuk mengambil maklumat daripada blogger saudari untuk tugasan saya. assalamualaikum :P

    ReplyDelete